Epistolari untuk rafik



Hikmah dalam persahabatan

Assalamu’alaikum, teman. 


Aku ingin sekali bicara berhadapan denganmu dari hati ke hati.  Namun, aku seorang teman yang ego; bimbang air mata akan mula menitis apabila mula bersuara. Sungguh aku enggan menunjuk kelemahan di hadapanmu. Sedangkan hakikatnya, kesempurnaan inilah kelemahanku.  Semoga bicara ini sampai kepadamu dan harap kau mengerti.


Teman, maafkan ‘kesempurnaan’ ini yang menunding jari ke arahmu sehingga kau merasa terpukul. Biar berkali-kali kau memohon maaf, aku memilih untuk berdiam diri. Bukan aku tidak mahu memaafkan dirimu dan bukan aku tidak dapat menerima keadaan yang telah berlaku tetapi  aku memerlukan waktu sendirian untuk menenangkan hati dan kembali berfikiran rasional. Semua yang berlaku bukan salahmu. 


Teman, maafkan ‘kesempurnaan’ ini yang membuat hatimu gundah. Sukar untukku mengukir senyuman di kala hati ini sebenarnya resah andai yang kuberi bukanlah yang terbaik. Jadi aku memilih untuk berdiam diri dan cuba memperbaiki keadaan sendiri agar yang ku persembahkan itu mampu memuaskan hati yang melihat. Namun, perancanganku tidak seindah perancangan Allah. Dia mengujiku apabila ‘kesempurnaan’ ini meruntuh seluruh hasil kerja yang ada. Buntu! Seolah-olah tiada jalan keluar untukku sehingga memaksa air mata ini turun jua dari tubir mata yang menahan. Aku menangis kerana perkara itu melibatkan hasil kita bersama-sama. Telah kuruntuh segala kepercayaan dan harapan. Disebabkan itu, pundak ini terasa berat menggalas beban.


Teman, wajahmu semalam terpancar rasa duka. Aku sedar matamu mencuri pandangan; mungkin cuba membaca hati yang bersembunyi di sebalik senyuman. Ketahuilah aku temanmu yang ego, lebih memilih untuk tidak menyusahkan orang lain selagi aku mampu berjalan sendiri. 


Teman, maafkan ‘kesempurnaan’ ini yang mencitrakan warna kelabu dalam persahabatan sehingga menerbitkan rasa tidak senang dalam hatimu. Akan aku warna semula persahabatan kita supaya warna pelangi tetap ada walaupun kadangkala hujan turun dan cuba menghapuskannya. Insya-Allah kita bakal bertemu sekali lagi dan aku mohon agar kau tidak menjadi sejarah dalam hidup ini. Tetaplah di sini dan menjadi sebahagian dalam hidupku, seandainya dirimu masih sudi untuk terus melakar cerita tentang persahabatan kita.


Maafkan lidah kerana menipu perasaan sebenar. Maafkan redup mata yang mengaburi segala kegundahan. Sekali lagi maafkan ‘kesempurnaan’ yang menjadi salah satu sikapku. Sejujurnya, kau ialah antara teman yang terbaik. Pandangan pertamaku terhadapmu tidak salah; seorang insan yang tertib, beradab. Punya kesantunan bahasa. Perlukah kita kaji segala maksim-maksim yang ada dalam dirimu? Tersenyumlah teman. Insya-Allah, aku baik-baik sahaja. Kita punya banyak waktu untuk mengenali masing-masing, insya-Allah.

Daripada jiwa bergelar teman.

p/s: Apabila kita jauh daripada keluarga, teman ialah insan yang terdekat dalam hidup kita. Hargai kehadiran mereka kerana mereka ialah anugerah daripada Allah. Terima segala kelebihan dan kekurangan yang ada kerana kita saling melengkapi antara satu sama lain. Walaupun suatu masa persahabatan anda bakal diuji, tetaplah menjadi teman dan berusahalah untuk memperbaiki kesilapan dalam bersahabat.

SERTAI PERBUALAN

    Komen blogger

0 rakan:

Post a Comment

Komen

Powered by Blogger.