Muhasabah Diri: Cahaya di Kala Subuh

Di hamparan sejadah berwarna hijau Fateh duduk bersila. Usai berdoa, dia tidak terus bangkit tetapi  memilih untuk duduk. Mahu bermuhasabah diri sebentar- mengenang segala dosa yang pernah dilakukan. Terasa jahat, lebih jahat jika hendak dibandingkan orang lain. Seolah-olah Fateh melihat orang lain terlalu baik, lebih baik daripada dirinya. Walhal semua manusia pernah melakukan dosa. Tetapi, kenapa dia merasakan bahawa dia ialah manusia yang paling berdosa? Sungguh! Pundak-pundaknya juga terasa berat mahu menggalas dosa! Adakah itu tanda Allah masih belum memaafkan dirinya?


Air mata jatuh berderai. Andai Allah tidak memaafkan dirinya, siapa lagi yang berkuasa untuk memaafkan? Tubuhnya jadi lemah serta-merta. Dia pandang ke luar jendela. Langit itu biru. Mega yang menghiasi langit berkepul-kepul comel seperti gula-gula kapas. Subhanallah, indahnya ciptaan Tuhan Yang Maha Esa! Rahmat dan nikmat-Nya yang sering dia lupa. Astarghfirullah. Hati semakin sayu. Mengenang kembali dosa yang dibuat, Fateh berfikir sama ada dia layak tinggal di muka bumi milik Allah. Layakkah dia menerima segala pemberian Allah sedangkan dia masih melakukan dosa. 

Ya Allah... Kenapa aku masih lemas dalam lumpur dosa? Kenapa manusia tetap melakukan dosa? Kenapa?

Soalan itu selalu dia dengar tetapi manusia belum muak untuk bertanya soalan yang sama. Mungkin mereka sudah muak melakukan dosa dan mahu bertaubat. Sebab itu mereka tidak jemu bertanya. Namun, jawapan untuk soalan tersebut tetap sama. Klise. 

Kurang didikan agama, iman tidak kuat, terlalu ikutkan nafsu, hasutan syaitan, terlalu mencintai dunia, tidak merasa hamba...

Jawapan-jawapan ini semua klise. Biasa Fateh dengar.  Bukan dia menafikan jawapan tersebut tetapi dia mahu mendengar sesuatu yang belum pernah dia dengar, sesuatu yang mungkin nampak kecil tetapi memberi impak besar. Ada sesuatu yang Fateh terlupa dan sesuatu itu ialah jawapan untuk persoalan tersebut.

Soalan itu terus tergantung tanpa jawapan sehinggalah hari ini berganti hari esok. Dia tidak dapat lena lalu siaran televisyen itu ditukar beberapa kali tetapi malangnya tiada rancangan yang mahu ditonton. Televisyen itu dibiar terpasang pada saluran 106, saluran Oasis. Lantas dia mencari sesuatu untuk dibaca. Komik Sin Chan! Bolehlah! Sekadar untuk menghilangkan rasa bosan. Helaian komik itu dia belek satu persatu- membaca secara pantas.

"Sesiapa yang susah untuk bangun solat Subuh, dia akan menjadi hamba kepada nafsunya"

Telinganya sempat menangkap sebaris ayat yang dilontar oleh penceramah di siaran saluran Oasis dalam rancangan "Muhasabah Diri: Cahaya di Kala Subuh." Mata dan telinga mula menumpukan perhatian ke arah televisyen. Apabila seseorang menjadi hamba kepada nafsunya, dia akan melakukan dosa. Ternyata Allah masih sayangkan dia. Begitu pantas Dia memberi jawapan kepada persoalan Fateh. Subhanallah! Satu lagi rahmat daripada-Nya!

Sejak hari itu, Fateh berusaha untuk bangun Subuh lebih awal. Dia tidak mahu menjadi hamba kepada nafsu. Malah sesiapa pun tidak mahu menjadi hamba kepada nafsu yang nikmat hanya sebentar tetapi kekal menjadi dosa.


p/s: Admin pernah mendengar dan membaca satu hadis berkenaan solat subuh. Solat subuh merupakan salah satu solat yang berat untuk dilaksanakan selain solat Isyak. Almaklumlah, hari belum terang dan masih gelap serta dingin, seronok untuk menyambung mimpi sambil tubuh diselimuti. Kalau kita tidak mahu menjadi hamba kepada nafsu, ayuh, bangun awal untuk menunaikan solat subuh!


SERTAI PERBUALAN

    Komen blogger

0 rakan:

Post a Comment

Komen

Powered by Blogger.