Yamazakura, kiasan cinta


Sakura
Sumber: Wallcoo.net

Aku sekuntum bunga. Namaku Yamazakura, kaum kerabat bunga Sakura. Berwajah putih tetapi terdapat tercalit sedikit merah jambunya. Ibarat Humaira bererti putih kemerah-merahan. Aku mekar di Jepun pada awal bulan April. 

Mekarnya aku dan kaum kerabatku yang lain dinanti ramai orang. Katanya cantik, comel dan mendamaikan. Ah, kami ini cuma makhluk ciptaan Allah! Selayaknya pujian itu kepada Dia yang suka akan kecantikan. Apa yang ada pada kami ini cuma pinjaman semata-mata. Suatu hari kami pun akan menyembah bumi, reput menghilang dari pandangan yang pernah memuja. 

Hah, aku punya cerita! Cerita tentang dia dan dia...

Awal April lepas, seperti biasa, aku dikunjungi. Ramai! Tetapi dalam keramaian itu, aku terlihat seseorang. Bermata sepet, berkulit sawo matang. Dia datang menghampiriku, mendongak memandangku sambil tersenyum. Aku tidak tahu maksud di sebalik senyumannya tetapi aku tertarik. Tanpa mempedulikan orang lain dia berbicara denganku. Hari ini dan hari-hari yang seterusnya, dia mengunjungiku. Dia sering mengaduh manja jika punya masalah. Dia yang tidak kedekut menyebut nama Allah. Aku terpesona. Fikir aku pesona itu bertahan lama tetapi sebentar cuma. Ternyata apabila dia pergi, tidak lagi datang, pesona itu hilang bagai ditiup angin untuk pergi jauh-jauh. Sufi, nama yang kugelar untuknya yang tidak kedekut memuji Allah, kini daun-daunku mengucap selamat tinggal.

April seterusnya, aku mekar seperti selalu. Ramai yang datang mengunjungi. Sedang aku leka melihat gelagat orang ramai, tanpa aku sedar ada seseorang sedang berteduh di bawah rimbunnya diriku. Dia senyap, tidak berbual-bual denganku. Jarinya bagai mencari sesuatu di dalam beg yang dibawa. Ah, buku dan sebatang pen. Serta-merta tangannya menari bagai sungai yang mengalir deras. Ada lakaran terbentuk, melahirkan lukisan yang indah. Seusai karya seni indahnya siap, dia tutup buku dan simpan buku dan pen itu kembali ke dalam beg. Lalu dia bingkas bangun. Kemudian, dia mendongak memandangku sambil tersenyum. Dia ucap sesuatu, "Terima kasih." Untuk apa ucapan itu, aku tidak pasti. Dia berlalu pergi sesudah itu.

Esoknya dia, pelakar  datang lagi dan duduk di bawah rimbunanku. Kembali melakar lukisan indah. Aku jadi pemerhati setia. Itulah rutin dirinya, datang dan duduk lalu melukis dan rutin aku, melihatnya dalam diam. Hingga lama-kelamaan pesona itu datang tanpa dipinta, tanpa diduga. April semakin menghujung, Mei bakal mengetuk dan aku bakal tidur sebelum April tahun depan datang lagi. Selalunya, waktu-waktu begini orang yang selalu mengunjungiku sebelumnya tidak lagi hadir menunjuk muka. Mereka duduk diam di rumah. Tetapi dia tetap ada, tidak jemu menemani. Istimewakah aku untuknya? Tetapi mustahil! Kasih manusia itu bagai racun, disalut dengan tipu muslihat. Aku hanya tumpangan untuknya. Suatu masa dia pun akan hilang.

April tahun hadapan sudah tiba. Pelakar  yang aku ragui dahulu, biar aku tidur sebelum aku sedar kembali, tetap datang menjengukku walau bukan untuk melukis lukisan indah. Jadi benarlah aku istimewa? Jadi, sedaya upaya aku mahu tetap mekar indah di hadapannya tetapi dia tetap diam, hanya senyuman dia berikan. Mula bingung. Istimewa atau tidak. Namun, aku ambil keputusan untuk bertahan lalu aku putuskan mahu mekar untuknya sahaja. Tiba-tiba datang dia, Sufi yang lalu, menjenguk aku kembali. Tersenyum dan berbicara denganku. Madahnya menyejuk diriku. Pesona yang pernah hilang kembali mengetuk. 

"Yamazakura, ogenki desu ka?" tanya Sufi.
"Hai, genki desu!" andai kau dengar jawapanku ini.

Masa pun berlalu pantas, hampir akhir April. Sufi kembali merajai takhta rimbunanku setelah pelakar memilih untuk diam. Namun, tanpa aku sedar hakikatnya aku masih memayungi pelakar di bawah rimbunan bungaku. Apabila pelakar pergi, aku berat mahu melepaskan dia kerana dia sudah tidak lagi mampu menyiapkan lukisan, kanvas putih itu hanya ada lakaran. Apabila Mei tiba, aku semakin letih. Tiba waktunya aku berehat. Sufi pulang ke rumah, ada kalanya kira dia tidak penat selepas pulang dari tempat kerja, dia akan menjengukku pada waktu rehatku. Dia si pelakar pula, menjengukku hampir setiap hari tetapi entah kenapa, senyuman pelakar itu tidak lagi seindah seperti selalu. Apabila mendongak melihat aku, senyuman seakan-akan ganti ucapan selamat tinggal itu sering dihadiahkan kepadaku. Daun-daun aku mula satu demi satu gugur.

"Tolong jangan ucap selamat tinggal wahai pelakar," dengarkah engkau?

Aku si bunga sakura, 
bernama Yamazakura,
Bunga yang kasih kepada manusia.

Aku sekadar bunga,
yang  akarnya sudah mencengkam dunia,
bagaimana mahu bertanya kepada dua mereka?

Ini cerita aku,
Si Yamazakura,
Bunga yang kasih kepada manusia.

Perlukah aku bertanya,
Meminta secebis rasa yang ada?

Atau aku perlu saja melupa,
Sebelum aku alpa kepada Yang Maha Esa.


-Yamazakura @ sakura.com-



p/s: Si bunga yamazakura tidak sedar mungkin bahawa 'hatinya' adalah untuk pelakar...





SERTAI PERBUALAN

    Komen blogger

0 rakan:

Post a Comment

Komen

Powered by Blogger.