Peristiwa buah oren: Tarbiah daripada Allah

Sumber: Sodahead website

Aku ambil buah oren yang sudah siap dipotong dan tersedia di hadapan mataku. Kusuap ke mulut. Dahi berkerut, mata mula mengecil. Terasa masam tetapi apabila sampai ke tekak, terasa manis. Aku ambil lagi buah oren lalu aku suap ke mulut. Tidak masam tetapi hakikat sebenarnya, oren itu manis. Tiba-tiba aku terfikir sesuatu:

"Kalau oren masam, reaksi wajah aku akan bertukar jadi masam juga. Tetapi Rasulullah S.A.W... Baginda dapat memaniskan wajahnya."

Serta-merta aku jadi malu terhadap diri sendiri. Aku mula bertanya kepada diri, "Mampukah aku memaniskan wajah seperti Rasulullah S.A.W ketika ada seseorang memberikannya buah limau dan apabila baginda merasa, buah itu masam lalu baginda memakan buah tersebut seorang diri dan tidak memberi kepada para sahabatnya sehingga mereka hairan? Selesai baginda makan dan pemberi limau itu pergi, para sahabat bertanya kepada baginda mengenai hal tersebut. Rasulullah S.A.W makan seorang diri kerana buah tersebut masam dan bimbang jika diberi kepada para sahabatnya, mereka akan melukai hati pemberi buah limau tersebut."

Bagaimana aku tidak malu kepada diriku? Kerana, aku ibaratkan buah oren yang aku makan itu seperti hidup. Hendak tahu oren itu masam atau manis, aku perlu rasa. Begitu juga hidup. Aku tidak boleh berdiri di tempat yang sama jika aku mahu berubah. Aku perlu memilih dan meneruskan langkah ini. Memang tidak aku nafikan, andai aku diserang masalah, wajah menggambarkan segala-galanya. Sungguh jarang aku berjaya menyembunyikan resahku. Namun, berdiri di atas titik kemungkinan, keraguan dan teka-teki itu lebih menyakitkan kerana hal tersebut mendorong aku untuk hidup dalam sangkaan, jauh dari kebenaran, dekat dengan kepalsuan.

Peristiwa buah oren ini membuka ruang mindaku untuk berfikir lebih dalam. Sungguh agungnya Allah! Melalui peristiwa sedemikian rupa, Dia dapat mentarbiahkan para hamba-Nya.


* Alhamdulillah, sudah masuk Ramadan ke-14. Namun, itu jua tandanya Ramadan semakin meninggalkan kita. 

JOIN CONVERSATION

2 rakan:

  1. Indahnya cerita ini. Saya pun baru terfikir akan nilai peribadi saya sendiri. mampukah menahan rasa jika ada seseorang melukakan atau enyinggung kita tanpa sedar, dan kita bersabar dengannya? terima kasih perkongsian ini..salam kenal dr saya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Terima kasih atas kesudian Cik Matahariku membaca entri blog KMD. Ada kala manusia terlepas pandang perkara yang nampak kecil tetapi ibrahnya cukup memberi kesan dalam kehidupan kita. Apa-apa pun terima kasih sekali lagi atas kunjungan saudari.

      Salam kenal jua drpd saya. =D

      Delete

Komen

Powered by Blogger.