Bernafas dalam Penulisan Kreatif

Aku dan penulisan bukanlah sesuatu yang asing tetapi hendak dikatakan terlalu akrab pun tidaklah juga. Sebabnya sudah kehilangan rentak. Sudah terlalu lama tidak menulis cerpen khususnya sampai aku sudah tidak bisa memberi warna dan mencipta kehidupan dalam setiap ceritaku. Tambahan, hendak dibandingkan dengan dahulu aku sudah semakin kurang membaca penulisan kreatif- kini lebih kepada penulisan akademik. Walau bagaimanapun, minat itu masih hidup. Untuk membiasakan diri kembali dalam penulisan kreatif, aku menulis sajak. Tidak mudah tetapi tidaklah terlalu sukar. Kata orang putih in between. 


Dan buat pertama kali, aku menghantar karya (puisi) untuk sayembara penulisan novel, cerpen dan puisi anjuran ITBM-PENA-BERITA HARIAN. Sebelum ini memang tidak pernah! Sesungguhnya aku masih terlalu muda jika hendak dibandingkan dengan rakan-rakanku yang lain yang sudah lama berkecimpung dalam dunia penulisan ini. Ketika mereka sudah berlari, aku masih bertatih-tatih. Apa-apa pun lebih baik mencuba daripada tidak. Sebabnya rezeki itu Allah yang beri.



ITBM PENA BERITA HARIAN
Surat penerimaan penyertaan sayembara . 

Untuk sayembara ini, para peserta masih menunggu pengumuman keputusan rasmi daripada pihak penganjur. Lama juga tidak mendengar khabar berita mengenai sayembara ini. Semoga para peserta termasuk aku diberi kesabaran dan ketenangan untuk menanti keputusan yang pastinya mendebarkan!

Jalan puisi itu tidak mati di situ sahaja. Aku dikhabarkan oleh seorang rafikku bahawa Legasi Oakheart sedang mencari penulis muda untuk Projek Muda-Mudi mereka. Pada awalnya berfikir untuk menghantar cerpen dan puisi tetapi keadaan tidak mengizinkan memandangkan pada waktu itu aku dihujani dengan pelbagai tugasan kuliah. Dan, aku hampir sahaja tidak menghantar apa-apa karya pun untuk projek tersebut. Sehari (andai minda tidak terlalu tua) sebelum tarikh tutup tersebut, rakan yang mengkhabarkan projek ini kepadaku tidak putus asa memberi galakan agar aku menghantar puisi untuk projek muda mudi ini. Mujur juga aku masih ada satu sajak simpanan dalam telefon bijak pintar. Namun sebelum itu, aku periksa dahulu karya-karya yang dihantar untuk sayembara dalam komputer riba. Bimbang andai sajak itu aku telah hantar untuk sayembara tersebut. Alhamdulillah, memang rezeki Allah untukku kerana sajak dalam telefon pintar tersebut belum dihantar untuk sayembara atau mana-mana penerbitan dalam blog, laman sosial atau laman web.

Ya, sebelum hantar tentu aku sunting dahulu sajak itu. A makeover! Ingat manusia sahajakah yang mahu cantik, sajak pun mahu cantik. Lalu aku 'solek' sajakku biar cantik sedikit dan pada jam 2127, 30 Jun 2013, syukur kerana berjaya menge-melkan karyaku kepada pihak LO. Dan pada 1 September 2013, keputusan puisi muda-mudi diumumkan dan baris demi baris aku baca, mencari nama empunya diri. Tersenyum. Namaku turut tersenarai. Alhamdulillah. Semoga penglibatanku dalam dua peluang ini menjadi pembakar untuk aku teruskan usaha dalam bidang penulisan.

Antologi muda mudi Legasi Oakheart
Keputusan puisi muda-mudi LO

Lalu ketika keluarga, saudara-mara dan beberapa orang rakan yang bertanya kepadaku sudahkah aku menghasilkan buku (maksud mereka novel), aku cuma mampu tersenyum. Aku tidak tahu sejauh mana perjalanan aku ke arah itu tetapi yang pastinya aku sedang berjalan ke arah itu. Perlahan-lahan tetapi insya-Allah. Kini aku masih mengumpul pengalaman, mencari identiti, mewujudkan makna dalam penulisan kerana aku tidak mahu memberi kekosongan yang hanya padat dengan aksara kepada para pembaca. Jiwa para pembaca harus diisi dengan sesuatu yang bermakna lalu untuk itu sebagai jiwa penulis harus diisi dahulu dengan sesuatu yang bermakna.


p/s: Aku hanya pernah siarkan cerpen di penulisan2u semasa zaman degree. Itupun hanya untuk suka-suka dan temanya lebih kepada cinta. Hahaha...hati berbunga-bungakah ketika itu? 


SERTAI PERBUALAN

    Komen blogger

0 rakan:

Post a Comment

Komen

Powered by Blogger.