Majalah Irfan Khairi dan Sindrom Penglihatan Komputer

Sedang aku membelek-belek majalah Inspirasi Kejayaan (IK) yang diasaskan oleh usahawan internet Irfan Khairi, aku teringat perbualan antara aku dan seorang rakanku.

"Aku suka tengok orang pakai spec. Nampak smart. Teringin juga nak pakai spec."

Suatu ketika dahulu, aku pernah suarakan hal pakai cermin mata ini kepada salah seorang rakanku yang juga pemakai cermin mata. Tapi, dia balas lebih kurang begini:

"Jangan... Tak seronok pakai spec ni sebenarnya. Jagalah mata elok-elok."

Ada lagi sebenarnya ayat-ayat tambahan di belakang tapi lupa sebab perbualan antara aku dan dia berlaku selepas setahun lebih. Aku hanya ingat aku mengiakan kata-katanya. Tetapi almaklumlah selagi tidak kena batang hidung sendiri, selagi itulah tidak tahu akan ketidakseronokannya memakai cermin mata.


Eh, apa kaitannya majalah IK dengan kisah cermin mata? Apa kaitan kedua-duanya dengan tajuk entri? Ada, ada kaitannya.

Irfan Khairi usahawan internet Malaysia yang berjaya
Isu 14

Irfan Khairi ialah usahawan internet yang berjaya di Malaysia. Salah satu sebab aku minat Irfan Khairi ialah beliau mampu mengubah minat dan ilmu yang dipelajarinya menjadi satu peluang perniagaan. Dalam majalah IK ini ada ruangan inspirasi (motivasi), arena (tips perniagaan), cinta dan wang (perihal wang dan kekasih), ikon Islam dan macam-macam lagi. Dalam isu 14 majalah IK kali ini, ruangan yang menarik minat aku ialah internet 2.0 sebab isunya berkenaan SINDROM KOMPUTER. Selepas baca, baharu aku sedar 'impian' aku memakai cermin mata ini tercapai dengan jayanya (sarkastik sangat!) disebabkan aku sudah terkena sindrom penglihatan komputer (CVS). Apakah itu?

Menghidap CVS
Ruangan internet 2.0

Kalau mata rasa pedih, letih, rasa panas terbakar (eh, bukan mata anda terbakar atau keluar api segala ya!), gatal dan kering, itu ialah salah satu tanda gejala CVS. Penglihatan kabur dan berbayang, sakit kepala, sakit leher atau bahu, sensitif terhadap cahaya, stres, susah hendak fokus pada imej di skrin dan mengubah fokus di antara monitor dengan dokumen itu pun gejala CVS juga. Kalau ada gejala sebegini, cepat tutup komputer riba, tablet atau telefon pintar sekarang! Sebab ketiga-tiga peralatan teknologi tersebut merupakan salah satu penyebab terjadinya CVS dan hal ini telah dikaji oleh Persatuan Optometrik Amerika Syarikat, okey. Sebanyak 75% pesakit yang menghidap CVS ini ialah yang menggunakan ketiga-tiga peralatan teknologi tersebut. 

Kalau dibiarkan, anda mempunyai peluang yang besar untuk berhadapan dengan gangguan penglihatan yang lebih serius seperti astenopia (Artikel CVS), miopia (rabun jauh), presbiopia (Klik sini untuk maklumat lebih lanjut) dan astigmatisme (rabun silau). Disebabkan aku biar gejala-gejala tersebut, maka hadiahnya ialah astigmatisme. Abang berbangsa Cina yang kacak yang periksa mata dan buat cermin mata aku pun sudah dapat mengagak asbabnya aku kena rabun silau. Susulan daripada itu, bermulalah hidup aku sebagai Clark Kent.  Walau bagaimanapun, ada manfaatnya juga! Apabila sudah terkena, baharulah aku 'terhegeh-hegeh' mencari maklumat fasal astigmatisme. Kalau dulu tahu istilah 'rabun silau' sahaja, sekarang boleh pakai istilah 'astigmatisme.'

Astigmatisme dan CVS
Cermin mata Clark Kent
Oleh itu, jagalah mata anda elok-elok sebab nikmat penglihatan ini pemberian Allah SWT. Jangan jadi macam aku apabila sudah terkena baharu tahu betapa nikmatnya tidak memakai cermin mata! Kenapa tidak pakai kanta lekap? Oh, tidak perlulah! Bagi aku itu hal yang renyah dan aku tidak suka hal yang begitu leceh. Cukuplah hilang suku nikmat penglihatan, aku tidak mahu kehilangan tiga suku yang ada sekarang. 

Pesanan daripada aku: "Jangan pasang impian hendak jadi Clark Kent, cukuplah jadi orang biasa." 





p/s: Malam ini kalian nak tonton Masterchef all star ke AJL?


SERTAI PERBUALAN

    Komen blogger

0 rakan:

Post a Comment

Komen

Powered by Blogger.