Kerna aku takut....

islam
Sumber: Iluvislam

Assalamualaikum para pembaca blog yang dirahmati Allah...

Hari ini saya hendak berkongsi satu cerita. Mudah-mudahan menjadi iktibar kepada kita. Apa yang baik kita amalkan, apa yang memudaratkan segeralah tinggalkan kerna itu sebahagian daripada jihad. Insya-Allah.

Di sebuah tempat, ada seorang hamba Allah yang senang dipanggil Husairi. Pada pandangan manusia, dia seorang lelaki yang baik, menjaga pergaulannya dan pengetahuan tentang agama, alhamdulillah okey. Namun, Husaini lebih tahu siapa dirinya. Allah lebih tahu siapa dirinya. Bagi Husairi, dia bukanlah lelaki yang bisa dipandang tinggi kerana agamanya kerana di sebalik itu dia adalah lelaki yang tidak bisa lari dari dosa dunia. Ya, dia mungkin lelaki yang baik, mungkin menjaga pergaulannya dan bahkan memiliki ilmu agama yang okey tetapi dia adalah lelaki disebalik tabir.


Husairi, sekiranya ada masa terluang tentu dia akan menonton video lucah untuk memuaskan nafsu syahwatnya. Dia tahu benda itu salah tetapi dia buat, seolah-olah tidak terdaya untuk melawan kehendak nafsu dan hasutan syaitan laknatullah. Seolah-olah solat yang dilakukan 5 waktu sehari tidak mampu membendung keinginannya itu. Sesudah nafsunya puas, dia seakan-akan baru sedar dan menyesali perbuatannya. Tika melakukan maksiat, Allah seperti tidak wujud untuknya. Begitulah perjalanan kehidupan Husairi. Sesudah itu dia akan kembali memohon ampun dan bertaubat kepada Allah. Dia menangis tika mengenangkan dosa-dosanya itu. Setiap kali seusai doanya, air mata yang membasahi pipi, akan dia basahi pada wajah dan disapu pada tangannya.

"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku. Aku hamba-Mu yang memungkiri janji-janjiku kepada-Mu. Namun, kepada siapa lagi hendak aku memohon keampunan jika tidak kepada-Mu. Aku tahu aku bersalah. Aku tahu aku telah melupakan-Mu kala mengecapi keinginan buasku. Namun, tidak sanggup aku termasuk dan dikatakan dalam golongan munafik. Tidak sanggup ku katakan diriku manusia yang bermuka-muka. Aku tak sanggup ya Allah.... Sungguh aku mahu menjadi orang yang baik, meninggalkan dosa-dosa itu dan meniti pada jalan-Mu tetapi kadangkala aku tewas dengan kehendakku dan tipu daya syaitan. Allahu rabbi, sungguh jalan menuju-Mu ini sukar tetapi aku tetap akan terus memohon keampunan daripada-Mu..aku akan tetap terus memohon agar Engkau berikan daku kekuatan untuk melawan nafsu dan hasutan syaitan...akukan tetap meminta Engkau lindungi daku daripada perkara yang memudaratkanku... Akukan terus meminta kepada-Mu.... Kerna hanya kepada-Mu aku berhak meminta......"

Air mata Husairi menitis laju. Air mata lelakinya gugur jua di hadapan Allah, terasa dirinya kerdil ketika itu. Tanpa dia sedari, ada seorang hamba Allah yang melihatnya sejak tadi iaitu Ali. Ali hairan kerana sesudah lelaki itu menangis, dia kan menyapu air matanya ke wajah dan tangan-tangan. Dia hairan dengan tindakan Husairi lalu kerna ingin tahu, dia mendekati lelaki tersebut.

"Assalamualaikum....,"sapa Ali lalu duduk di sisi Husairi.

"Wa'alaikumsalam...oh, Ali...," balas Husairi, tersenyum.

"Aku nak tanya kau sesuatu..," ujar Ali.

"Silalah. Kiranya aku boleh jawab, insya-Allah aku jawab," jawab Husairi.

"Sebenarnya dari tadi aku tengok kau. Sampailah kau habis berdoa dan lepas tu aku tengok kau sapukan air mata tu kat seluruh muka dan tangan kau. Banyak kali juga aku tengok. Hmp...kenapa ya?" tanya Ali.

Husairi terdiam. Kemudian dia tersenyum. Hatinya tika itu sayu.

"Kerna aku takut, Ali...," luah Husairi.

"Takut? Sebab apa?" Ali hairan.

"Aku takut kepada Allah. Aku takut diriku akan dilemparkan ke dalam neraka atas perbuatanku," luah Husairi, bergenang air matanya lalu dikesat.

"Lalu kenapa kau sapukan air mata itu pada wajah dan tangan?" Ali masih hairan.

"Sebab aku pernah mendengar di satu ceramah agama, bahawa api neraka tidak akan menjilat wajah yang basah kerana air mata yang takutkan Allah. Kerna itu aku membasahi wajah dan tanganku dengan air mata. Seandainya kubisa, akan kubasahi seluruh tubuh ini dengan air mataku, Ali....," tersekat-sekat suara Husairi menyatakannya.

"Subhanallah," bisik hati Ali.

"Tapi kau orang yang baik Husairi. Dosa-dosa kau taklah sebesar aku, yang dahulunya bergaul bebas, arak menjadi minumanku.... Tapi aku kagum denganmu wahai rakanku. Tidak pernah aku temukan seseorang sepertimu...," ujar Ali.

"Ali, mungkin pada pandangan kau aku baik. Tapi sebaik manapun aku pada orang, aku takkan dapat lari daripada berbuat dosa. Dalam sedar atau tidak sedarku....," balas Husairi, semakin deras air matanya mengenangkan dosa-dosanya.

Kerna terlalu takutkan Allah,
Kerna terlalu takut akan dilemparkan ke neraka,
Sehingga begitu sekali Husairi bertindak, menyapu air matanya ke seluruh wajah dan tangannya.

P/s: Teman, kita tak mungkin lari dari dosa-dosa. Kadangkala kita menang melawan nafsu dan syaitan tetapi kadangkala kita tewas. Walauapapun berlaku, teruskanlah jihadmu. Teruskanlah meminta keampunan kepada Allah. Walau setinggi manapun dosa yang dirasakan, keampunan Allah lebih tinggi. Pintu taubat itu senantiasa terbuka.....



[Cerita ini adalah rekaan pemilik blog. Tiada kena mengena dengan individu lain yang hidup atau mati. Pemilik blog hanya ingin menyampaikan cerita untuk dijadikan iktibar kepada para pembaca]

SERTAI PERBUALAN

    Komen blogger

0 rakan:

Post a Comment

Komen

Powered by Blogger.