Perosak resepi: Spageti Carbonara

resepi spageti carbonara
Oh, spageti carbonara!

Sejak dua hari lepas, aku teringin sangat hendak makan spageti, lebih spesifik lagi, spageti carbonara tapi bahan-bahan untuk membuatnya tidak mencukupi. Walaupun terdapat pasar raya mini di seberang rumah, aku malas  kurang rajin hendak berjalan ke sana, tambah-tambah lagi dalam keadaan cuaca panas begini. Namun selagi tuntutan 'mengidam' tidak dituruti, selagi itulah perut sentiasa lapar. 

Pada hari ini, seorang sahabat menghantar whatsapp kepadaku dan menyatakan bahawa tengah hari tadi dia telah memasak spageti, lebih spesifik lagi, spageti carbonara yang kuidam-idamkan. Keinginanku terasa membuak-buak tetapi tidak cukup untuk menggerakkan kakiku ke pasar raya mini yang hanya 5 minit dari rumahku. (Pemalasnya!

Usai makan tengah hari, aku masih lapar dan spageti carbonara kembali bergentayangan di fikiranku. Lalu aku ke dapur dan membuka gerobok makanan. Manalah tahu, aku boleh 'menghancurkan' resepi asal yang selama ini aku guna. 

Tiba-tiba, aku ternampak sup Campbell Mushroom cheese with croutons! Tadaa!!! Yezza, aku boleh masak spageti carbonara hari ini!
                                                 Sos putih sos carbonara
Sup Campbell


Jadi, aku ambil spageti di dalam gerobok makanan tetapi apabila aku lihat nama pada paket yang kupegang sebenarnya bukan spageti, angel hair. (Harap maklum, bukan rambut malaikat ya!) Angel hair adalah salah satu jenis pasta yang ada di muka bumi ini. Insya-Allah ada kesempatan, aku akan tulis satu entri berkenaan jenis-jenis pasta dan cara untuk membezakannya. 

Okay, berbalik kepada resepi spageti carbonara tadi! Disebabkan tiada spageti, angel hair pun bolehlah. 

Selepas itu, aku rebus angel hair dalam air mendidih yang telah aku letak sedikit minyak zaitun supaya angel hair tidak saling melekat antara satu sama lain dan secubit garam sebagai perasa. Setelah angel hair masak, aku toskannya sebelum diletak ke dalam mangkuk. Selesai buat angel hair, aku ke langkah yang seterusnya, iaitu membuat sos putih atau carbonara dengan menggunakan satu paket sup Campbell. 

Kalau ikutkan, bahan-bahan asal untuk membuat sos putih adalah seperti berikut (ikut resepi yang selalu aku guna): 

1) Kepingan keju dalam 2-3 keping (mengikut anak tekak yang inginkan kelazatan keju yang melampau-lampau)
2) Susu segar (biasanya aku bancuh air susu Nespray)
3) Cendawan butang (dipotong dua, kalau rajin dihiris dan jumlahnya ikut suka tekak masing-masing)
4) Mentega (tak perlu banyak, dalam satu sudu teh saja) 
5) Bawang putih atau bawang besar (Aku tak letak sebab tak begitu suka bawang putih/bawang besar )

Kali ini, sos carbonara aku tanpa cendawan butang, kepingan keju dan mentega. Hanya guna sup Campbell yang telah dibancuh ke dalam air yang siap dididih. Digaul dan kemudian, aku masukkan susu segar (satu cawan cukup untuk seorang). Setelah itu, aku masukkan garam, gula dan lada hitam sedikit sebagai perasa. Akhir sekali, campuran herba (mixed herbs McCormick) dan sedikit daun pasli. 

Tutup api.

Sos carbonara aku tuang ke atas angel hair yang kuletak di dalam mangkuk. Disebabkan 'spageti carbonara' agak kosong, aku masukkan serunding ayam dan bawang merah goreng ke dalamnya. 

Alhamdulillah, akhirnya terlunas juga keinginan hendak menikmati spageti carbonara. 

Tapi...



tiba-tiba terasa hendak makan kek. Sigh! 

JOIN CONVERSATION

1 rakan:

  1. Biar jadi perosak resepi,janji sedap dimakan..ngehngeh :)

    ReplyDelete

Komen

Powered by Blogger.